11 October 2009

Saya Masih Hidup!!!

KLUANG: Seorang kakitangan SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJH) terkejut apabila mendapati dirinya didaftarkan sudah meninggal dunia dan wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM12,000 lesap.


Nasib malang itu menimpa Mohd Syarizal Wahab, 29, kerana dia pernah kehilangan kad pengenalan di Mersing pada Mac 2001 yang kemudian dipercayai disalah guna pihak lain.

Kejadian itu bermula pada November 2004 apabila menerima dua saman kesalahan lalu lintas yang dia tidak melakukannya.

Selain itu, dia menerima tuntutan saman RM30,000 daripada sebuah institusi kewangan kerana didakwa gagal melunaskan kontrak sewa beli sebuah kenderaan.

Terbaru ialah wang carumannya dalam KWSP sebanyak RM12,000 dikeluarkan orang lain yang mengemukakan beberapa dokumen sokongan termasuk surat kematiannya, sijil nikah dan sijil kelahiran dua anak menggunakan namanya sebagai suami dan bapa kandung, sedangkan dia masih bujang.

Mohd Syarizal mendakwa seorang lelaki mendaftar kematiannya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kota Tinggi selepas mendapat pengesahan sijil kematian daripada seorang doktor Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

“Saya kecewa dan tertekan dengan kejadian yang menimpa diri berikutan perbuatan pihak lain menggunakan kad pengenalan saya untuk melakukan jenayah.

“Lebih mengecewakan saya bagaimana seorang doktor kerajaan dengan mudah mengeluarkan sijil mati oleh pihak yang bukan mempunyai kaitan persaudaraan dengan saya,” katanya di sini semalam.

Katanya, dua saman trafik yang diterima atas namanya membabitkan dua kenderaan berlainan.

“Saya menyemak kesalahan itu dan mendapati saya terbabit dengan kesalahan trafik di Segamat memandu Proton Wira ADC 2442 serta alamat rumah di Felda Adela Kota Tinggi.

“Bagi saman kedua, saya melakukan kesalahan trafik di Jalan Besar Kota Tinggi memandu kereta bernombor WCK 6693. Saya mempunyai bukti pada tarikh dan waktu itu, saya sedang bekerja di Kluang,” katanya.

Katanya, pada 3 Mac 2005 dia menerima saman dari AmFinance untuk hadir ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru berhubung kes perlanggaran perjanjian sewa beli Proton Wira ADC 2442 membabitkan tuntutan RM30,013.50.

Menurutnya, pada Mei lalu namanya disenarai hitam ketika hendak memperbaharui cukai jalan keretanya.

“Pada 12 Julai lalu saya membuat semakan di JPN Kluang dan mendapati butiran dalam kad pengenalan mempunyai dua alamat sedangkan tidak pernah membuat sebarang perubahan pertukaran alamat,” katanya.

Ketika membuat semakan di KWSP lima hari kemudian, Mohd Syarizal hampir pitam apabila diberitahu wang carumannya RM12,000 dikeluarkan atas nama seorang wanita.

“Alasan pengeluaran adalah saya sudah meninggal dunia dan wanita berusia 27 tahun itu yang beralamat di Felda Adela Kota Tinggi mendakwa isteri saya.

“Dia menyertakan sijil kematian saya, sijil nikah, sijil kelahiran dua anak lelaki sedangkan saya masih belum berumahtangga.

“Selepas itu saya ke Pejabat Pendaftaran Negara cawangan Kota Tinggi dan melalui semakan, saya disahkan meninggal dunia pada 30 Januari 2006 oleh Dr Kasumaida Mahajir melalui sijil kematian siri D 010357 dikeluarkan di HSA,” katanya.

Menurutnya, pendaftaran kematiannya dibuat 23 hari kemudian oleh lelaki bernama Jumaat Hashim dari Felda Adela, Kota Tinggi.

“Saya ke HSA dan dimaklumkan saya pernah dimasukkan ke wad pada 4 Januari lalu dan keluar keesokan hari tanpa menjelaskan bayaran perubatan sejumlah RM28,” katanya

0 comments:

Post a Comment