04 December 2009

Kad sim anda tidak selamat?

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang menerima SMS memaklumkan dia memenangi wang tunai RM15,000 terkejut apabila kad sim telefonnya dibatalkan kerana syarikat telekomunikasi menyatakan dia sudah memansuhkan nombor berkenaan walaupun dia tidak pernah berbuat demikian.

Lebih mengejutkan apabila lelaki yang mengirimkan SMS itu seolah-olah ‘memerhatikannya’ kerana mengetahui dia membuat laporan polis ketika cuba mendapatkan semula kad sim berkenaan.

Mangsa hanya mahu dikenali sebagai Zawiyah, 34, berkata dia menerima SMS itu pada 23 Januari lalu pada jam 4 petang namun, tidak mengendahkannya kerana percaya ia adalah penipuan.

“Tetapi, tiba-tiba saya rasa seperti mahu menghubungi nombor berkenaan dan cuba membuat panggilan. Seorang lelaki menjawab panggilan itu dan memaklumkan sekali lagi bahawa saya memenangi wang RM15,000 dari sebuah syarikat minyak,” katanya.


Menurutnya, lelaki itu meminta nombor akaunnya untuk memasukkan wang tunai yang dimenanginya dan mangsa memaklumkan hanya mempunyai akaun sebuah bank.

“Tetapi, lelaki itu mengatakan mereka tidak berurusan dengan bank itu dan meminta saya menunggu arahan seterusnya,” katanya.

Zawiyah berkata, pada jam 8 malam, dia cuba menghubungi rakannya, tetapi gagal kerana kad sim telefon bimbitnya gagal berfungsi.

“Selepas itu, saya hubungi pusat servis syarikat telekomunikasi itu, namun kakitangan yang bertugas menyatakan saya sudah membatalkan nombor itu dan mengambil kad sim yang baru dengan nombor sama,” katanya.

Menurutnya, dia turut meminta kakitangan berkenaan memeriksa baki wang tambah nilai kerana dia memasukkan RM100 beberapa hari sebelum itu dan terkejut kerana tiada baki yang tinggal kerana kakitangan berkenaan mengatakan bahawa ia sudah dikongsi dengan nombor lain.

“Saya juga memintanya membatalkan nombor berkenaan, namun agak terkejut kerana dia mendakwa bahawa tidak boleh membatalkan nombor itu kerana saya mendaftarkan nombor itu tanpa memberikan kad pengenalan,” katanya.

menurutnya, dia hairan bagaimana syarikat telekomunikasi berkenaan boleh meluluskan permohonan tanpa meminta salinan kad pengenalan dana memintanya menyelesaikan sendiri dengan mengunjungi pusat servis berdekatan.

“Keesokannya, saya membuat laporan polis sebelum ke pusat servis di Bukit Idaman, Selayang untuk membuat pembatalan nombor berkenaan dan kakitangan di situ memaklumkan bahawa ejen mereka di Kuala Lumpur yang mengeluarkan kad sim baru nombor berkenaan,” katanya.

Menurut Zawiyah, selepas itu, dia berjaya mendapatkan semula kad sim nombor asalnya dan kakitangan berkenaan berjanji untuk membuat siasatan selepas cuti Tahun Baru Cina.

“Sejam selepas saya berjaya mendapatkan nombor asal saya itu, saya mendapat panggilan telefon daripada seorang lelaki dipercayai lelaki sama yang menghubungi saya sebelum ini dan bertanya kenapa saya ambil semula nombor itu,” katanya.

Zawiyah berkata, lelaki berkenaan juga mempersoalkan kenapa dia membuat laporan polis membuatkannya berasa tidak selamat kerana lelaki itu tahu apa yang dilakukannya.

“Saya tanya lelaki itu bagaimana dia tahu saya buat laporan polis dan dia hanya ketawa, malah mencabar saya membuat lebih banyak laporan polis kerana yakin dia tidak akan ditangkap,” katanya.

Menurutnya, apa yang mengecewakannya adalah prosedur syarikat telekomunikasi itu yang seolah-olah tidak selamat dan tidak melindungi maklumat peribadi pelanggan.

0 comments:

Post a Comment